Friday, July 15, 2011

KPT BUAT PROGRAM KHAS PANGGIL DR ASRI BELA SAIFUDIN

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Susulan perhimpunan 9 Julai, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Barisan Nasional (BN) perlu membuang pemikiran feudal jika mahu terus mendapat sokongan rakyat terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Jelas bekas mufti Perlis, dalam kepimpinan BN terlaku ramai “golongan pengampu” berbanding golongan yang boleh membantu parti perikatan untuk terus dilihat relevan dalam arena politik sekarang.

“Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.
“Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan,” katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.
Program dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah
dan dihadiri intelektual, lebih banyak menyentuh perhimpunan 9 Julai lalu anjuran Bersih 2.0 dan diprotes Pemuda Umno.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpinan Patriot membantah Bersih 2.0 Sabtu lalu.
Tegas Asri (gambar), BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak harus memilih pemimpin yang boleh membantu pentadbiran kerajaan seterusnya boleh menarik sokongan rakyat.
“Kalau kerajaan pandai tangani ini, ia akan beri kelebihan tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya... pemikiran feudal ini perlu dibuang.
“Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan ‘third force’ ini jumlahnya lebih besar.
“Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.,” katanya.
Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Dalam pandangan yang dikemukakan di hadapan kira-kira 30 orang, Asri juga menyamakan BN seperti “seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu.”
Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.
“Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.
“Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya,” katanya.
Asri juga secara peribadi mengatakan beliau berasa dukacita dengan langkah Putrajaya menangani perhimpunan itu yang menyaksikan seorang lelaki terbunuh didakwa terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pihak keselamatan.
“Itu hak mereka untuk tidak berkumpul, saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi ia menyebabkan kita tidak boleh untuk melangkah ke hadapan.
“Saya percaya kalau perdana menteri benarkan, polis benarkan, malah turut membantu melancarkannya saya rasa kerajaan akan dapat kredit... dan saya sangat dukacita cara kerajaan menangani perkara ini,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik Anis Yusal Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 boleh dibincangkan dengan SPR.
Lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan itu adalah membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“Saya tidak nampak tuntutan ini terlampau, ia boleh dibincangkan dan SPR perlu memberikan sebab-sebab yang munasabah mengapa ia tidak boleh dilakukan.
“Saya tidak faham mengapa perkara yang jelas sebegini boleh dianggap tidak munasabah, kalau benda asas seperti ini tidak boleh dibincangkan, bagaimana?” katanya.
Bekas pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Denison Jayasooria pula berkata Putrajaya perlu lebih matang dalam menangasi isu-isu yang sensitif.
“Selepas ini, banyak perkara yang perlu dilakukan (kerajaan), segala masalah yang berlaku perlu diselesaikan. Kerajaan juga perlu menggunakan pendekatan komunikasi yang lebih bagus dan lebih terbuka,” katanya.
Sumber: TMI
Satu kem. Kononnya berfikiran baharu. Saifudin, KJ dan Asri. Tak tahu lah samada  Pemuda UMNO secara keseluruhannya. Apa yang Dr Asri tak sebut ialah kenapa kalau BERSIH ikhlas, mereka tak terima buat dalam stadium di luar KL dan kenapa tak mohon permit? Oleh itu sah, Dr Asri cuba membela anak yang degil. Anak yang baik akan menegur bapanya secara baik, tetapi anak yang menegur bapanya dengan menjerit dikhalayak adalah anak yang derhaka dan biadap! Ini bukan soal mengampu. Ini soal adab dan susila.




3 comments:

  1. Oo..so sorry Dr.Asri. Takpelah aku rela dikatakan berfikiran feudal kerana memarahi seorang anak yang bersikap kurang ajar kepada bapanya. Dr.Asri lupa, anak tersebut akan menjadi bapa juga satu hari nanti dan bagaimana rasa bapa tersebut jika anaknya bersikap kurang ajar.

    Dr.Asri tak nampak atau buat2 tak nampak demo 9 julai hanya menjadikan masalah bertambah besar sedangkan 8 tuntutan bersih masih juga terbengkalai.

    Perbincangan is still the best policy. Kenapa Dr.Asri memilih untuk duduk bercakap dlm program ni sedangkan Dr.Asri boleh berdemo utk meluahkan perasaan???

    ReplyDelete
  2. KAMI BERPENDAPAT DR ASRI TERLALU BERLEBIHAN DALAM MENGEMUKAKAN PENDAPAT, SEOLAH2 KERAJAAN DAN SPR TIDAK PERNAH LANGSUNG MEMBUKA PINTU DAILOG. SUNGGUH MENGHAIRANKAN,SEORANG YANG DIKIRA BERPENDIDIKAN DAN TERKENAL BOLEH BERPIKIRAN BEKU DAN SYOK SENDIRI. KAMI HARAP DIA BERPIJAK DIBUMI NYATA DAN JANGAN BERKHAYAL SEOLAH2 DIA SAHAJA YANG BIJAK DAN PANDAI BERKATA2. CUKUP LAH...TUMPUKAN TENAGA DAN FIKIRAN MENDIDIK DAN MENGASUH UMAT ISLAM BERKENAAN FIQHUD DAULAH,DAN MEMBETULKAN AQIDAH UMAT ISLAM YANG TERPESONG OLEH AJARAN2 PAS

    ReplyDelete
  3. Kenapa kita layan budak Asri ni. Biarkan dia sok sendiri. Lagi kita layan, dia akan berasa dia lagi diperlukan oleh masyarakat.

    ReplyDelete