Wednesday, July 10, 2013

JANGAN RAMBANG MATA

       
Hari ini dah mula berpuasa bagi semua umat Islam. Selamat Berpuasa. Mungkin sahur pertama nanti cuma seadanya dan mungkin lauknya lebih sedap sedikit dari hari biasa. Dan biasanya dugaan untuk sahur pertama ni, tak banyak yang bermasalah.

Masalah yang paling besar yang kerap dihadapi oleh umat Islam ketika Ramadhan ini ialah seawal pukul 3.00 petang nanti bila Bazar Ramadhan mula dibuka. Memang dugaan!

Memilih juadah untuk berbuka ketika sedang berlapar memang menjadikan orang rambang mata. Apa tidaknya, di Bazar Ramadhan tu, segala aneka kuih muih ada, pelbagai lauk pauk dijual serta pelbagai rasa dan warna air minuman yang menggamit selera. Perghhh.... ketika sedang berlapar itu, rasanya macam semua boleh mereka telan.

Ketika keluar rumah, hajatnya mungkin untuk sejenis kuih dan sejenis minuman sejuk, tapi bila balik ke rumah, kiri kanan tangan menjinjit juadah. Berpada-padalah ketika ke Bazar Ramadhan. Yang besar tu nafsu, yang nak rasa sedapnya tu tekak tapi yang nak terima tu perut. Perut tak boleh terima sampai over-limit. Maka kalau tak kontrol kehendak nafsu dan tekak, akhirnya juadah akan ke tong sampah. 

Elakkanlah pembaziran di bulan Ramadhan yang mulia ini. Lebih elok kalau tak payah ke Bazar Ramadhan sekiranya ada masa untuk menyediakan sendiri juadah, maka tak le tergoda dengan beraneka jenis makanan yang dijual. Sendiri sediakan lebih terjamin kebersihannya. Semoga tahun ini tak kedengaran ada yang keracunan makanan kerana membeli di Bazar Ramadhan. 

Emmm... aku memang payah nak ke Bazar Ramadhan ni sebab menyampah dengan karenah peniaga. Apa tidaknya, kalau selalu kuih, 4 keping seringgit, bulan puasa dah jadi 3 keping seringgit. Begitu le juga dengan juadah yang lain. Seolah-olah bulan Ramadhan ini adalah musim menuai bagi mereka yang berniaga makanan!


No comments:

Post a Comment