Saturday, November 15, 2014

KONVENSYEN UMNO JOHOR 2014 - UCAPAN ALUAN PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN


UCAPAN ALUAN YAB PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO JOHOR SEMPENA PERASMIAN KONVENSYEN UMNO JOHOR 2014 PADA HARI JUMAAT, 14 NOVEMBER 2014

UMNO: Menyorot Masa Silam, Menginsafi Masa Kini dan Merancang Masa Depan – Maka Perjuangkanlah

Assalamulaikum dan Salam Muafakat Johor

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur kita rafakkan kepada Allah S.W.T kerana dengan kurnia dan izin-Nya kita dapat bersama-sama berhimpun sempena Konvensyen Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO Johor 2014 pada hari ini.

Terlebih dahulu, suka saya untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Sri Presiden atas kesudian untuk bersama-sama dengan kami dalam Konvensyen UMNO Johor 2014 pada kali ini. Sesungguhnya secara peribadi saya yakin, kehadiran dan kesudian Dato’ Sri untuk bertandang ke Johor dan meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan kami di sini amat besar maknanya, terima kasih Dato’ Sri.

Tidak ketinggalan, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua perwakilan yang hadir serta ahli-ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran dan kejayaan konvensyen kita pada tahun ini.

Adalah diharapkan konvensyen ini dapat menjadi platform yang serius, produktif dan intelektual serta mencapai matlamat penganjurannya. Saya juga berbesar hati ingin berkongsi bahawa fokus dan tema konvensyen kita pada tahun ini adalah Di Sini Lahirnya UMNO. Suatu fokus dan tema yang diharapkan dapat menyegar dan memperkasakan semangat perjuangan kita semua, Insha Allah.

YAB Dato’ Sri dan para perwakilan sekalian, 

UMNO Adalah Perjuangan

Kita berhimpun atas nama sebuah parti yang ditubuhkan untuk menjalankan segala ikhtiar bagi mendirikan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. UMNO, yang lahir di Johor 68 tahun dahulu, direstui oleh Istana, didokong dan disokong oleh pelbagai lapisan masyarakat Melayu adalah permulaan perjalanan pengislahan bangsa Melayu kita.

Maka hari ini, atas dasar ad-dinun nasihah, betapa agama itu adalah nasihat, saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya serta seluruh perwakilan, bahawa UMNO yang kita warisi, yang kita pimpin, dan yang kita dokong bukanlah sekadar sebuah parti dan pergerakan politik semata-mata.

Ianya lebih besar dan lebih gah dari hanya sebuah institusi kepartian. UMNO sesungguhnya adalah sebuah perjuangan. Sebuah cerita, warisan dan wadah pengislahan bangsa Melayu. Ia adalah perjuangan untuk membangun dan menjayakan orang Melayu menjadi bangsa besar, bermaruah dan mandiri.

Setelah hampir enam dekad, UMNO telah berjaya menggalas perjuangan ini dan mendepaninya dengan bijaksana. Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa UMNO adalah pacuan sebenar yang membina Malaysia yang sangat bersatu padu, progresif, berdaya saing, moden dan berperwatakan global. 

Cabaran UMNO Hari Ini

UMNO pasca milenium mempunyai cabaran yang lebih getir, mendalam dan berbeza. Jika dahulunya cabaran UMNO banyak berkisar tentang orang Melayu dan Malaysia, kini cabarannya adalah tentang Malaysia dan dunia global. Cabaran UMNO hari ini adalah sesuatu yang tidak pernah kita alami; ‘unprecedented’, sangat membimbang dan membingungkan. Jika kita tidak menghadapi dan menanganinya dengan baik, kita pasti akan ditolak, tersungkur dan tewas.

Secara asasnya, dua cabaran utama UMNO hari ini adalah:

Pertama: Kemunculan gelombang baharu yang dikenali sebagai ‘kebangkitan kesedaran politik global’ atau ‘global political awakening’; dan

Kedua: Kepudaran kepercayaan dan menebalnya ketidakyakinan rakyat kepada kepimpinan dan institusi politik.

Cabaran Pertama: Gelombang Kebangkitan Kesedaran Politik Global 

Untuk pertama kalinya, dalam sejarah manusia kita menyaksikan, peningkatan kesedaran politik yang sangat mendadak, transformatif dan luar biasa. Ia berlaku di pelbagai peringkat, dalam darjah yang berbeza. Dampaknya sangat jelas dan sangat bersifat global. Kita menyaksikan kemunculan masyarakat yang bingkas, peka dan saling berinteraksi tentang politik dan isu sekitarnya.

Semua tuntutan mereka adalah tuntutan politik yang memerlukan penyelesaian politik. Ruang dan kebebasan untuk bersuara dengan lebih terbuka, tuntutan kehidupan yang lebih bermaruah dan terjamin, peluang pekerjaan yang lebih baik, keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang adil.

Kebangkitan kesedaran politik global ini dimarakkan lagi dengan capaian teknologi komunikasi seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp mahupun Email. Ia membolehkan mereka membentuk komuniti, berkongsi persepsi dan aspirasi yang sama. Penghuni dunia digital atau ‘digital native’ ini telah mengambail alih salah satu kuasa paling penting pada mana-mana Kerajaan, iaitu kawalan pada ‘maklumat, maklumat dan maklumat’.

Lebih penting, mereka ini adalah golongan anak muda yang sangat agresif dan tidak penyabar. Fikiran dan minda mereka sangat berbeza. Mereka berpendidikan baik dan jumlahnya sangat ramai. Dan anak-anak kita juga adalah sebahagian daripada mereka. Mereka adalah ‘a force to be reckon with’ dan sangat sukar dikawal, sama ada daripada aspek ekonomi, politik, sosial, psikologi mahupun rohani.

Oleh kerana kebangkitan ini global sifatnya, maka orang Melayu tidak terkecuali. Kita telah menyaksikan kebangkitan generasi muda Melayu yang pemikiran politik mereka sangat radikal tetapi ‘sosphisticated’. Tuntutan mereka, pandangan mereka, kritikan mereka, jauh berbeza. Kita berhadapan dengan generasi Melayu yang ‘globally connected, politically awaken and culturally modern’.

Maka, bagaimanakah kita, UMNO, akan berhadapan dan menghadapi realiti politik sebegini? Bagaimana UMNO harus memperjuangkan agenda bangsa dalam konteks pemikiran, sikap, budaya dan citra bangsa Melayu yang semakin deras berubah. Adakah kita berupaya menangani gelombang kebangkitan generasi yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi ini? Ini merupakan persoalan penting yang perlu untuk kita sama-sama muhasabah, fikir dan ikhtiarkan penyelesaiannya.

Cabaran Kedua: Ketidakpercayaan dan ketidakyakinan rakyat kepada kepimpinan dan institusi politik.

Mereka yang menganggotai dan menyertai parti dan aktiviti politik semakin berkurangan biarpun kesedaran politik meningkat dengan luar biasa. Dalam konteks Malaysia, semakin ramai daripada rakyat kita yang sudah tidak berminat dan semakin menjauhkan diri, bukan sahaja dengan UMNO, malah dengan pelbagai pergerakan politik lain. Begitu ramai yang sangat kritikal, mencurigai malah menyalahkan UMNO dalam semua kemelut bangsa dan Negara.

Kebelakangan ini, penolakan terbuka terhadap UMNO, termasuk dari orang Melayu sendiri, semakin ketara. Prestasi kita dalam dua Pilihanraya Umum yang lepas adalah petunjuk terbaik dan harus segera menjadi pengajaran berguna. Benar kita punyai 3 juta ahli; tetapi adalah juga benar yang kebanyakan ahli kita adalah hanya pada keahlian. Dan ramai yang menyertai UMNO bukan lagi kerana perjuangan tetapi sebagai instrumen politik untuk pengaruh, kuasa, prestij dan kekayaan.

Bayangkan masa depan dan dampaknya kepada UMNO seandainya kita gagal ‘resonates’ dengan generasi muda Malaysia yang tebal prasangka negatifnya kepada kepimpinan politik dan institusi politik. Jangan sampai tahap ‘ketidakpercayaan’ ini membarah sehingga mereka tidak lagi melihat apapun perkara yang baik yang ada pada UMNO dan pergerakan politik semasa. Masalah kehilangan keyakinan dan ketidak percayaan ini bukanlah lagi masalah ‘persepsi’, tetapi ianya jauh lebih dalam dan mendasar.

Dato’ Sri Presiden, Tuan-tuan dan Puan-Puan

Adalah sukar untuk sesebuah parti politik, yang diasaskan pada nilai, paradigma dan struktur abad ke-20 untuk berhadapan dengan cabaran abad ke-21 pada hari ini. Abad yang menyaksikan capahan rumit suara-suara politik dan budaya kewarganegaraan yang sangat pantas berubah. Abad yang generasinya tidak lagi gemar dengan idea ‘kuasa dan kepimpinan dari atas ke bawah’.

Bagi generasi pasca moden, zaman kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir. Kebijakan kerajaan ada hadnya; generasi kini adalah ‘a new force’ yang telah merubah struktur tradisional hierarki dan kuasa. Namun biar apapun sifat dan sebesar manapun cabaran ini, kita mesti bersedia berhadapan dengannya. Saya menghuraikan cabaran-cabaran mendesak ini kerana saya tidak mahu UMNO dan orang Melayu terutama di Johor lari dari hakikat dan realiti sebenar.

Rentetan daripada apa yang telah saya jelaskan sebentar tadi, kita hanya ada tiga pilihan.

Pertama: Menentang dan menghalang perubahan. Jika ini adalah pilihan kita, saya yakin kita pasti akan kecundang dan tewas. UMNO akan hanya tinggal sejarah yang bakal dilupakan.

Kedua: Mengambil sikap tidak endah, tidak peduli, semua orang hanya dengan kepentingan sendiri ibarat enau dalam belukar. Kita sendiri tahu, jika ini yang kita pilih, pasti kita akan segera menjadi terasing dan akhirnya tidak relevan.

Dan pilihan ketiga: Merancang, mendepani dan mengurus perubahan ini. Dan merancang dan mengurus perubahan tersebut secara strategik, bijaksana dengan ilmu, dengan akal yang panjang serta kolektif. Saya percaya ini adalah pilihan terbaik yang harus kita lakukan.

Lalu jika ini pilihan kita, maka jalannya ialah pengislahan dan memodenkan UMNO. Ini bermakna UMNO memerlukan nafas baharu, pemikiran baru dan strategi baru. UMNO mesti memimpin, bukan sahaja bangsa Melayu dan perjuangannya, tetapi Malaysia dan masa depannya. Kita harus melakukannya secara kolektif; satu parti, satu perjuangan, satu bangsa, dan pastinya satu Malaysia. Kesemuanya saling mendokong erat dan mengukuhkan antara satu sama lain. 

Maka dalam konteks ini saya suka manganjurkan empat (4) pendekatan untuk perubahan yang UMNO mesti pertimbangkan.

Pertama: Kita mesti akur bahawa UMNO termasuk UMNO Johor memerlukan suatu transformasi dan bukannya perubahan kosmetik yang bersifat luaran semata-mata. UMNO mesti berfikir di luar norma kebiasaan. Parti harus diurus dan tampil menjadi pergerakan yang lebih canggih, dipimpin oleh pemikiran termaju serta dengan pendekatan bersederhana.

UMNO harus bangkit dan tampil menjadi pergerakan politik sezaman, berprinsip dan inklusif. ‘Constituents’ UMNO bukan lagi hanya ahlinya, tetapi masyarakat Melayu dan Malaysia secara keseluruhan. ‘Constituents’ yang pelbagai dan kompleks ini harus diurus dengan bijak dan menuntut keterbukaan. Yang rencam itulah yang bakal membuahkan penyelesaian terbaik dan berhikmah. Hanya pergerakan politik yang bersifat sezaman dan mendukung pemikiran termaju akan dapat mengurus kepelbagaian ini dengan kematangan dan membuahkan kejayaan.

Kedua, kita mesti gigih berikhtiar dan meyakinkan generasi muda Melayu dan Malaysia bahawa mereka boleh mempercayai dan menyakini UMNO. Dan UMNO seterusnya akan mendengar dan menyahut aspirasi mereka. Untuk diyakini, UMNO mesti mempunyai pelan, idea, strategi dan dasar yang jelas dan pragmatik, bertindak balas terhadap semua permasalahan orang Melayu, rakyat Malaysia dan Negara dengan segera dan bersesuaian.

Lalu dasar dan strategi kita tentang pendidikan kena jelas. Dasar kita mengenai agihan ekonomi perlu realistik. Dasar kita tentang kesihatan mesti boleh diterjemahkan dalam perkhidmatan kesihatan terbaik, setanding dengan negara maju. Dasar kita tentang perumahan tidak akan sama sekali meminggirkan mana-mana golongan. Dasar kita tentang Islam mesti mengambil kira kemajmukan Malaysia. Dan kita mesti telus, terbuka dan rasional dalam semua dasar pro-Melayu dan pro-Bumiputera.

Tidak cukup dengan itu, semua yang kita ketengahkan dan perjuangkan, impaknya mesti boleh terlihat, boleh diukur dan berorientasikan pencapaian. Semua ini penting kerana ‘constituents’ kita sangat bermaklumat, mempunyai kesedaran politik yang tinggi serta mendambakan perubahan nyata. Mereka tidak lagi boleh diolokkan-olokkan dengan retorik politik dan kebangsaan. 

Saya sangat berkeyakinan, jika semua dasar dan pelan kita dihurai dan dirungkai dengan baik, maka kefahaman yang lebih jelas akan dapat ditanam. Nescaya UMNO akan dilihat konsisten dan mempunyai agenda yang jelas dan terancang. Hanya dengan itu, ketidakpercayaan yang membusut akan dapat kita tukar menjadi keyakinan yang menggunung.

Ketiga, UMNO memerlukan mekanisme baharu dalam menggerakkan demokrasi dengan cara yang selari dengan kedinamikan abad ke 21. Kita perlu menyusur denai yang akan membawa kita untuk menghubungkan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia dengan idealisme politik dalam era yang menyaksikan idealogi politik mula menjadi sesuatu yang jijik dan memualkan.

Salah satu jalannya ialah menggunakan teknologi digital dan media sosial untuk menjadikan UMNO lebih demokratik dan inklusif. Proses membuat keputusan, menjalankan gerak kerja dan menyelesaikan semua masalah rakyat mestilah didemokrasikan melalui teknologi.

Media sosial dan rangkaian teknologi ini harus menjadi instrumen dan wahana parti untuk ‘resonates’ dan mendengar suara hati rakyat yang terkesan dengan tindakan dan keputusan kita. Dan apa juga yang kita lakukan di Cawangan, Bahagian, Pemuda, Wanita Dan Puteri, perlu mengeksploitasi kelebihan media sosial sebagai medium mendapat maklum balas dan idea-idea yang segar, baharu dan relevan. Ia juga harus jadi medium mengukur impak dan kejayaan sesuatu tindakan dan sumbangan kita.

Keempat, jalan pembaharuan untuk UMNO mesti berorientasikan perkhidmatan sivik. Perkhidmatan sivik ini adalah fungsi yang selalu dilupakan dalam keghairahan kita mengekal kuasa dan meluas pengaruh. Ia telah dikesampingkan kerana kita selesa dengan kuasa. Pada kita, UMNO adalah Kerajaan dan Kerajaan adalah UMNO.

Kesannya, komponen ‘civic service’ sangat diabaikan dalam UMNO yang semakin menua. Ramai beranggapan ini bukan tugas UMNO tetapi adalah tanggungjawab Kerajaan. Perkara ini telah menyebabkan umat Melayu tidak mampu melonjak sebagai bangsa yang boleh berjaya dengan sendiri. Sindrom terlalu menunggu dan mengharap semuanya dari pemerintah dan dari orang lain sangat melemahkan orang Melayu.

Berbanding dengan komuniti kaum Cina yang berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan pemerintah. Masyarakatnya sangat berinisiatif dan sarat dengan daya gerak sendiri untuk memajukan kaumnya. Lihatlah pelbagai institusi dan organisasi masyarakat mereka yang diwujudkan dan dibiayai oleh mereka sendiri.

Sebab itulah bila kita tewas di Kelantan, Kedah dan Selangor, bila kita gagal membentuk Kerajaan, kita tercari-cari ruang untuk memainkan peranan yang efektif dalam masyarakat. Kita hilang punca seolah-olah kita sudah tidak boleh menyumbang melainkan dengan hanya menjadi kerajaan.

Oleh yang demikianlah, UMNO mesti mengukuhkan kedudukannya melalui strategi berorientasikan perkhidmatan sivik. Ia harus berinteraksi lebih luas dengan pelbagai segmen masyarakat melalui rangkaian perkhidmatan sivik ini. Dan ia harus dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim. Ia harus terus dilakukan walaupun ketika UMNO tidak terpilih menjadi kerajaan. Jadilah UMNO yang memberi tanpa musim, yang meminta jarang sekali.

Dato’ Sri Presiden dan para perwakilan sekalian,

Ikrar UMNO Johor 

UMNO Johor berikrar akan melakukan yang terbaik untuk merialisasikan misi perubahan ini. Ia akan membina tradisi dan menyubur sebuah budaya baru dan progresif. UMNO di Johor akan menjadi sebuah perjuangan politik moden, bersifat sezaman, berprinsip dan inklusif. Inilah cara Johor; yang berpijak nyata dengan idealisme politik sebenar dalam zaman yang menyaksikan idealogi politik seringkali mengundang mual dan kekecewaan.

Dan kita akan melakukannnya dengan akal yang panjang. Jauh dari rasa gah dan mendabik dada terus menerus, bercerita tentang kejayaan lepas semata. Kita akan melakukannya dengan strategi, dan idea, secara kolektif, transformatif dan inklusif. Semua akan diukur; dengan manfaat yang dapat dirasai dan terlihat, diyakini serta mengundang kepercayaan. 

Dato’ Sri Presiden, Tuan-tuan dan Puan Puan,

Dalam tempoh tiga tahun akan datang ini, UMNO Johor akan melakukan empat (4) strategi pembaharuan atau transformasi.

Pertama, UMNO Johor akan terus mengukuhkan kedudukan, pengaruh dan kuasa orang Melayu dengan meningkatkan kebolehsaingan mereka dalam semua bidang.

Kami tidak akan sama sekali lupa pada tanggungjawab kami untuk bangsa Melayu. Kami semua lahir, membesar dan dewasa dalam persekitaran UMNO dan perjuangan Melayu. Parti ini adalah parti orang Melayu. Lalu tanggungjawab mengupayakan Melayu itu

adalah sesuatu yang bersifat asas, rukun dan dasar dalam agenda kehidupan kami. Perkara ini akan kami perjuangkan dan mantapkan. Namun, dalam meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu, sama sekali tidak akan kami lakukan dengan meminggirkan kepentingan bangsa lain. Kemajmukan Malaysia adalah realiti yang sudah kami jiwai seluhurnya.

Agenda kedua UMNO Johor ialah memperkukuhkan Barisan Nasional.

UMNO telah memerintah Johor dan Malaysia untuk 13 penggal secara adil dan demokratik dengan formula perkongsian kuasa yang menghasilkan banyak cerita kejayaan. Ia telah memberikan keadilan kepada bangsa-bangsa lain. Barisan Nasional yang berfungsi dan berperanan dengan baik telah menjadikan Malaysia antara negara paling moden, selamat, kompetitif ekonominya, paling harmoni struktur sosial dan yang lebih penting, paling stabil politiknya.

UMNO Johor akan menjadi rakan yang terbuka dan memahami keperluan rakan-rakan kita yang lain dalam Barisan Nasional Johor. Oleh itu, parti-parti komponen Barisan Nasional juga harus memahami keperluan UMNO dan pendirian tegas kita tentang kepentingan Islam dan orang Melayu. Ini adalah asas utama kesepakatan kita mengurus kemajmukan Malaysia. 

UMNO Johor akan memperkuatkan Barisan Nasional melalui pelbagai program bersama, kerjasama yang erat dalam gerak kerja dan saling berlapang dada dalam menangani perbezaan. Kita percaya betapa perbezaan itu adalah suatu rahmat.

Agenda Ketiga: UMNO Johor akan berusaha memastikan UMNO dan Barisan Nasional memenangi semua kerusi di Johor pada Pilihanraya Umum ke 14.

Kehilangan 18 kerusi pada pilihanraya lepas adalah pengalaman yang membingungkan, pahit tetapi menghasilkan kesedaran yang mendalam. Memenangi pilihanraya adalah sangat penting kepada UMNO dan perjuangan Melayu. Ia adalah jalan demokratik terbaik yang kita pilih untuk memerintah dan mengurus Malaysia secara sah.

UMNO yang kuat sebagai sebuah parti, tetapi tewas di medan pilihanraya demokratik adalah gambaran penolakan kepada idealisme, perjuangan dan halatujunya. Ini tidak boleh berlaku di kala kita ada kekuatan, pengalaman dan banyak kelebihan. UMNO dan Barisan Nasional mempunyai pengalaman yang tidak ada pada mana-mana pergerakan politik lain. Yakni pengalaman memerdekakan dan mengurus Malaysia dengan sangat berstruktur dan berjaya.

Oleh itu saya dan UMNO Johor, nekad bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional akan berusaha dengan lebih gigih, bekerja dengan lebih keras, untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya umum ke 14, Insha Allah.

Oleh yang demikian, UMNO Johor ingin meyakinkan Dato’ Sri Presiden, pada PRU ke 14 yang akan datang, kita akan menjadi benteng terkuat Barisan Nasional di Tanah Semenanjung ini. Kita akan membantu Barisan Nasional membentuk Kerajaan dengan majoriti lebih besar dan diyakini.

Akhir sekali: UMNO Johor tidak akan menjadi ‘parti senja’ atau ‘parti di hujung usia’. Ia akan menjadi parti pilihan golongan muda, dipimpin oleh gabungan mereka yang bijak dan progresif.

Kita akan menyediakan ruang seluas-luasnya untuk membongkar potensi pemimpin muda terbaik dari kalangan bangsa kita. Mereka yang mempunyai susuk peribadi yang ‘kamil’, berilmu dan berjiwa ‘pejuang’. Ke pinggir desa, ke pulau terpencil, ke tengah bandar, ke pangsapuri mewah, ke gedung perniagaan kecil dan besar, kita akan memburu dan mencari pemimpin pelapis yang terbaik, berwibawa dan berbakat.

Ini kerana masa depan UMNO terletak pada pemimpin yang mempunyai keunggulan dalam persekitaran Malaysia yang global dan membangun. Mereka diperlukan di semua peringkat, baik di Cawangan, Bahagian, Pemuda, Puteri, Wanita, Perhubungan Negeri, dan Majlis Tertinggi. Kita sangat mengalu-alukan sumbangan buah fikiran, teguran, dan kehadiran mereka.

Kita senantiasa insaf dan sedar, tiada yang gah dan kekal pada jawatan, kedudukan mahupun pengaruh kita. Segalanya pasti akan berakhir jua. Tetapi UMNO, orang Melayu dan perjuangannya nyata ‘lebih besar dari kedudukan dan peribadi kita semua’. Ini adalah sebuah perjuangan.

Justeru, kita semua punyai tanggungjawab moral untuk memastikan UMNO dipimpin oleh Melayu terbaik, Melayu yang soleh, Melayu yang pepatah ungkapkan betapa, ‘jika dilempar ke laut, jadi pulau, dilempar ke darat, menjadi gunung ganang yang indah’. 

YAB Dato’ Sri, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Penutup

Kita semua harus mengakui bahawasanya sangat sukar untuk kita menduga masa depan. Segalanya begitu pantas, begitu kompleks, dan dunia yang mengelilingi kita semakin mengecil. Tetapi saya sangat yakin, di Johor, kita mesti melakukan beberapa perkara. UMNO memerlukan kepimpinan yang lebih sofistikated dan inklusif. UMNO memerlukan pandangan jauh dan suatu strategi jangka panjang yang teliti dan bukanlah hanya perolehan politik melulu yang bersifat jangka pendek. UMNO memerlukan idea besar, pemikiran bernas dan pendekatan moden dalam mempertahankan perjuangan serta melestarikannya.

Maka pada hari yang berbahagia ini, sukalah saya untuk umumkan penubuhan Johor Institute for Strategy, Economic Advancament and Democracy atau ringkasnya JISEAD. Institut ini akan membantu UMNO Johor dan Kerajaan Negeri dalam tiga perkara.

Pertama, JISEAD akan menjadi badan pemikir dan penganalisis dasar serta strategi yang berorientasi penyelidikan yang ‘robust’.

Kedua, sebagai forum terbuka untuk sesiapa sahaja tampil mengemukakan idea-idea besar dan pemikiran luar biasa bagi manfaat parti, bangsa dan tanahair.

Ketiga, mengadakan seminar, pendidikan, latihan, dan penyebaran idea yang bersifat strategik bagi kelangsungan parti, bangsa Melayu dan kemakmuran Johor serta Malaysia.

Semoga usaha murni ini akan diberkati dan membuahkan hasil demi memperkukuh UMNO Johor, perjuangan bangsa Melayu dan kemakmuran ibu pertiwi. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini sekali lagi mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Presiden atas kesudian hadir dan menjenguk kami di Johor. Saya percaya kehadiran Dato’ Sri akan menyemarakkan lagi semangat kami semua di sini.

Semoga UMNO dan Barisa Nasional akan terus kita perjuangkan dengan teguh, berani dan ikhlas demi kelangsungan bangsa, agama dan tanahair.

Sekian, Terima kasih.

No comments:

Post a Comment