Sunday, August 9, 2015

UCAPAN MB JOHOR DI PERSIDANGAN UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

Datuk Seri Presiden, 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya dan rakan-rakan di kawasan Pasir Gudang sangat berbahagia dengan kehadiran Datuk Seri Presiden, pada pagi yang damai dan indah ini. Kami di Pasir Gudang berasa amat bertuah dan berbesar hati dengan penghormatan ini.

Peluang berjumpa dengan Datuk Seri Presiden ini sangat menggembirakan semua ahli UMNO Pasir Gudang. Ia pasti dikenang selamanya oleh kami semua. 

Kesempatan ini lebih bermakna kerana dua sebab. Pertama, ia berlaku dalam bulan Syawal yang mubarak, yang kareem. Bulan kita meraikan sahabat dan rakan taulan, memohon maaf zahir dan batin. Tidak terlambat kiranya untuk saya dan seluruh pendukung UMNO Bahagian Pasir Gudang mengucapkan Selamat Hari Raya pada Datuk Seri Presiden dan keluarga, maaf zahir dan batin jua.

Kedua, kehadiran ini juga akan memberikan peluang dan ruang terbaik untuk Datuk Seri Presiden, secara langsung, mendengar suara hati rakyat Johor. Terutama pada ketika dan saat, UMNO mendepani pelbagai cabaran. 

Isu-isu seperti 1MDB, Felda, GST, kejatuhan ringgit, dan kos hidup yang tinggi sehinggalah kepada rombakan terbaharu kabinet Persekutuan yang kebetulan melibatkan tokoh utama politik Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

InsyaAllah, pada kesempatan ini, UMNO Bahagian Pasir Gudang akan berkongsi perkara yang sebenar dengan sejujur-jujurnya. Bukan hanya perkara yang baik-baik dan manis sahaja. Kita tidak mahu menjadi mereka yang hanya menyampaikan perkara baik dan senyum di hadapan, namun bercakap dan bertindak sebaliknya di belakang. 

Kerana kita ada tujuan dalam pertemuan hari ini. Kita ada hasrat. Dan ianya adalah agar segala percambahan, saranan dan pandangan kesemua kita, akan membuahkan hasil yang baik pada bangsa dan tanahair. Dan semoga ia diangkat sebagai amal soleh, Insya-Allah.

YAB Datuk Seri Presiden, 

Pada pagi ini, saya hanya ada tiga perkara yang ingin saya sampaikan, sebagai mewakili pendukung UMNO Pasir Gudang. Pertama, pada ketika dan waktu ini, kita harus berlaku benar. Mengakui bahawa parti, tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya. 

Pendukung kita di Johor, berada dalam keadaan yang resah. Sangat gelisah dan ramai yang keliru. Isu-isu seperti 1MDB, Felda, kejatuhan nilai ringgit, kos sara hidup dan pelaksanaan GST meniti dari bibir ke bibir kebanyakan ahli dan rakyat Malaysia.

Selain ahli UMNO, rakyat kebanyakan juga semakin keliru, skeptikal, pesimis dan mempersoalkan kewibawaan dan kredibiliti setiap penjelasan dan tindakan kita. Apa jua penjelasan, dilihat tidak memadamkan rasa gelisah dan gundah gulana ini. Malah, semakin mengelirukan. Semua masalah itu sekarang, mula membebani UMNO.

Dan ia membebani UMNO pada saat UMNO berhadapan dengan pelbagai masalah lain. Pada saat UMNO tidak sekuat dahulu. Pada saat UMNO cuba untuk memulihkan dirinya agar menjadi relevan dengan generasi muda. Pada saat UMNO sedang berhempas pulas mencari jalan terbaik bagi mendepani demokrasi Malaysia yang semakin matang.

Justeru, UMNO memerlukan pencerahan dan jalan ke hadapan kepada segala kemelut dan krisis yang melandanya waktu ini. Kerana itulah kami menyatakan sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Presiden agar semua kemelut ini boleh diselesaikan. 

Diselesaikan dengan cara yang telus. Diselesaikan dengan cara yang terbaik. Diselesaikan dengan cara yang mengangkat keadilan dan kebenaran. Tidak lebih dari itu. 

UMNO Pasir Gudang sangat prihatin dengan ini semua dan kita mengambil pendirian bahawa, ruang dan masa mesti diberikan kepada pucuk pimpinan Parti untuk perkara ini dirungkaikan. Atas sebab itulah, kami alu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1MDB dalam masa 6 bulan; dan kami percaya, ianya akan tercapai. 

Datuk Seri Presiden,

Dalam kita mengambil ikhtiar menyelesaikan pelbagai isu yang mendepani parti dan negara, kami di Pasir Gudang mengajak semua pihak untuk melakukan dua perkara penting. Pertama, mendengar segala pandangan akar umbi dengan sabar.

Kami percaya, semua mesti punya ruang untuk menyatakan isi hati mereka. Benar ada yang kritikal. Benar ada yang keras. Dan benar ada yang meragukan. Tetapi apa daya yang ada pada kita untuk menghalang ini semua.

Pentas politik Malaysia sudah berubah. Berubah dengan luar biasa sekali. Kita tidak boleh menidakkan sesiapa jua dari bersuara. Kerana itu fitrah manusiawi. Kerana itu jiwa demokrasi.

Kebebasan menyatakan pendirian, pandangan dan idea adalah fitrah yang azali. Dan bukan sekadar fitrah, UMNO juga, budayanya bukan feudal. Parti kita, membangun, kuat dan perkasa kerana kita meraikan kepelbagaian pandangan dan rasa. Pada waktu yang sama juga, UMNO sehari demi sehari, bergerak menjadi parti siasah moden dan mendukung prinsip pemikiran berkemajuan. 

Tutuplah ruang formal untuk bersuara, pasti akan dicari ruang lain untuk mereka menyatakan rasa dan pandangan mereka. Dan dalam kebanyakan keadaan, mereka akan menemui ruang alternatif, malah lebih berpengaruh, lebih kuat dan lebih berkesan.

Terutama di kawasan seperti Pasir Gudang ini, kami berhadapan dengan ahli dan pengundi yang ‘urban’, yang ‘sosphisticated’. Yang mengambil pusing keadaan di sekeliling mereka.

Saban hari, kami dapat merasakan keyakinan terhadap UMNO semakin pudar, bukan sahaja daripada rakyat tetapi dari ahli sendiri. Mereka mula radikal dalam soalan dan reaksi mereka. Mereka mula menunjukkan rasa dingin dengan apa jua penjelasan yang kita berikan. 

Kerana itu kita harus mendengar dengan sabar. Kerana jika kita mendengar, kita akan memahami aspirasi rakyat dengan lebih mendalam. Dan kita jangan lupa, kita memerintah di zaman, yang bukan lagi zaman kita. Zaman ini adalah zaman generasi pelapis. Oleh itu, bila kita mendengar, dan mengambil iktibar dari apa yang kita dengar, sekurang-kurangnya kita bersama mereka, mencorakkan perjalanan masa depan mereka.

Kedua, UMNO Pasir Gudang juga menyeru agar kita tidak hilang fokus dengan agenda besar bangsa. Memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan memastikan perpaduan Melayu itu diperkukuhkan. 

Jangan sesekali, segala isu yang mendepani kita, menjadikan kita seolah-olah terhenti berjuang untuk perkara yang lebih penting. Jangan sesekali kita lupa, apa jua hambatan, UMNO adalah institusi Melayu paling penting dan diasaskan untuk melestarikan kepentingan Melayu dan Islam. 

Justeru itu, UMNO mesti diperlakukan dengan adil. Parti ini telah melakukan kebaikan sepanjang hayatnya untuk Islam, untuk bangsa dan untuk ibu pertiwi. 

UMNO bukan milikan sesiapa. Ia institusi siasah milik bangsa Melayu. Ia milikan ummah. Maka tiada siapa yang lebih besar dan lebih gah dari ini semua. UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan.

Datuk Seri Presiden, 

Kami di Pasir Gudang dan di Johor ini mengharapkan jalan pencerahan. Jalan ke hadapan. Dan fajar baharu dari semua kemelut bangsa dan negara.

Fajar yang memberikan harapan. Bahawa masih ada kebenaran, masih ada keikhlasan dalam perjuangan dan masih ada kesatuan Melayu dalam menempuh masa depan. Masih ada sisa perjuangan yang boleh kita kutip dan murnikan semula.

Kami percaya, Datuk Seri Presiden ada jawapan untuk pencerahan ini. Berilah jalan ke hadapan kepada kami, kepada ahli, kepada UMNO.

Selamatkanlah UMNO dengan mengajak kepada kesatuan dan muafakat bersama. Kerana inilah satu-satunya institusi yang telah membuahkan begitu banyak kebaikan kepada agama dan bangsa. Marilah kita mempertahankan kepentingan UMNO mengatasi kepentingan lain. UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar.

Lebih-lebih lagi di Johor. Ia lahir di sini. Ia dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini. Dan kami tidak akan sekali-kali membenarkan ia dikebumikan di sini.

Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, platletnya UMNO dan DNAnya juga, tanpa ragu, adalah UMNO.

Dan selama ini pun, Johor adalah benteng UMNO yang paling kuat. Maka akan kami lakukan apa sahaja untuk membantu Datuk Seri Presiden, memastikan UMNO ini terus berkelangsungan. 
 
Biarlah badai apa pun yang menghempas. Biar gerhana apa pun yang terbias. UMNO pasti akan kami jaga dengan ikhlas. Dengan amanah. Dengan keringat dan darah. 

Datuk Seri Presiden,

Kami yakin, Datuk Seri berkongsi pendirian dan rasa seperti kami jua. Tiada siapa lebih utama kepada kita kerana yang menjadi keutamaan UMNO ialah perjuangan untuk menjaga kepentingan bangsa.

Justeru kerana itu, bila Tan Sri Timbalan Presiden digugurkan, UMNO Johor mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Perdana Menteri. Kerana UMNO Johor mengambil ketetapan bahawa urusan Kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang Perdana Menteri. Ia mesti dihormati dan didukung. Walau pada hakikatnya, ada di kalangan kami yang terluka. 

Dan kami juga mengambil ketetapan. UMNO hanya ada satu Nakhoda, iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini. Tetapi hormat kami tidak akan berkurang pada Timbalan Presiden. 

Cara Johor, ialah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah muafakat kerana semua kita adalah bahagian penting dalam keluarga besar UMNO. 

Kerana itu, kita menyeru agar Timbalan Presiden terus dihormati. Mana mungkin kami akan membelakangkan beliau hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persabahatan kami bukan kerana darjat, bukan kerana pangkat, bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat.

Kepada Tan Sri Muhyiddin, harapan kami ialah semoga dapat terus bersama mendukung perjuangan UMNO, memperbaiki bangsa dan agama. 

Inilah UMNO Johor. Mementingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip. Kerana itu, UMNO terus diyakini di Johor. Bak pesan Datuk Laksamana Hang Tuah, menurut biar akal, menentang biar beradap.

Datuk Seri Presiden,

Perkara kedua yang ingin saya khabarkan pagi ini ialah, UMNO Pasir Gudang dan Johor akan terus fokus untuk menjadikan UMNO lebih baik. Lebih dipercayai, Lebih moden, lebih berkelangsungan.

Kami bekerja dengan gigih sekali untuk memastikan UMNO dan seluruh jenteranya, menjadi parti yang benar-benar diyakini oleh orang Melayu dan berkeadilan kepada yang bukan Melayu.

Dan kita melakukannya dengan cara yang berlainan. Kerana kita ingat sekali pesan Saidina Umar R.A yang sangat kita kasihi. Beliau berpesan... “Didiklah anak-anakmu berlainan dengan keadaan kamu sekarang, kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau”.

Kerana itulah, semenjak konvensyen UMNO Johor yang lepas, banyak yang telah kami lakukan. Merekayasa UMNO dengan pendekatan moden. 

Rumah penyelidikan dan institut pemikir khusus untuk UMNO Johor, Bait Al Amanah, telah kami tubuhkan dan mula beroperasi.

Pejabat Perhubungan Negeri akan diuruskan secara profesional oleh golongan profesional. Agar ia menjadi institusi moden yang tata kelolanya setelus, sebaik dan semaju institusi lain.

Kami akan lancarkan Pelan Masa Depan UMNO untuk tempoh 10 tahun mendatang tidak lama lagi. Sebanyak 11 agenda besar UMNO meliputi pelbagai ikhtiar untuk melebarkan usaha madani memodenkan UMNO akan dijadikan landasan pelan ini.

Kami akan tubuhkan Sekolah Politik dan Kepimpinan UMNO, untuk menyediakan pemimpin terbaik bangsa. UMNO NEXT GENERATION!

Kami akan ikhtiarkan, InsyaAllah pasukan komunikasi strategik, Barisan Nasional Network untuk menyalurkan maklumat dengan pantas dan sahih.

Pasukan sukarelawan UMNO Johor akan dilebarkan, agar ‘political activism’ itu disemarakkan. Selain mengalakkan aktiviti madani. Dan pelbagai lagi ikhtiar kesiapsiagaan UMNO untuk mendepani pilihanraya akan datang. 

Semua ini kerana kami percaya bahawa UMNO tidak memerlukan peremajaan tetapi kematangan yang dipulihkan. UMNO memerlukan pengislahan yang harus dijelmakan sebagai wadah yang memberi kebaikan kepada bangsa. 

Dan itupun tujuan sebenar kita berpolitik. Untuk melakukan kebaikan kepada bangsa. Untuk membawa pencerahan kepada ibu pertiwi. 

Untuk menyumbang kepada anak bangsa yang setiap hari kita lihat. Untuk menyumbang kepada anak bangsa yang belum pernah kita lihat. Dan untuk menyumbang kepada anak-anak bangsa yang tidak akan pernah kita lihat.

Tugas kita bukanlah untuk menuai hasil ranumnya. Tapi untuk menanam benih. Mencuba dan mencuba. Kerana di dalam mencuba itulah, kita menemukan dan belajar membangunkan kesempatan untuk berhasil. 

Datuk Seri Presiden, 

Perkara ketiga yang ingin saya sampaikan pagi ini ialah betapa perlunya kepimpinan negara, berasa terkesan dengan kesempitan rakyat.

Dengan jujur, saya mengakui, banyak benar yang telah dilakukan oleh Kerajaan untuk bangsa dan negara ini. Tetapi kita masih punya banyak ruang dan peluang untuk memperbaiki keadaan bangsa kita. 

Kesenjangan jurang pendapatan rakyat amat ketara sekali. Kos sara hidup semakin membebankan. Golongan bawahan berasa semakin sukar melalui kehidupan harian dengan gembira dan tenang. Golongan menengah berasa sangat perit untuk menikmati kehidupan yang selesa. Sedangkan mereka semua bekerja keras. Sedangkan mereka semua rajin dan jujur.

Dasar ekonomi kita yang memfokuskan kepada pendapatan tinggi nampaknya tidak seiring dan selari dengan kehidupan harian rakyat Malaysia. Malaysia memerlukan dasar ‘ekonomi untuk semua rakyat Malaysia’.

Yang bukan berfokuskan kepada pendapatan semata-mata. Tetapi berfokuskan kepada kesejahteraan. Yang membolehkan, sesiapa jua, walau dengan pendapatan yang kecil, berpeluang menjalani kehidupan yang bermakna dan bermaruah.

Yang walaupun pendapatannya rendah, tetapi memadai untuk kehidupan yang selesa. Yang memadai untuk anak-anak mereka belajar dan menyimpan cita-cita untuk berjaya.

Justeru itu, ada dua perkara yang UMNO Pasir Gudang anjurkan untuk pertimbangan Kerajaan. Pertama, akuilah kewujudan segala kelompongan ini. Berlapang dadalah dengan segala keluhan. Bila kita sedia mengakuinya, sedia bersikap terbuka, sedia untuk mendengar dengan lebih banyak. Ia akan menyakinkan rakyat bahawa setidak-tidaknya keluh kesah mereka kita dengari.

Mengakui masalah ini wujud dan bersedia mencari jalan keluar darinya, setidak-tidaknya sudah menyelesaikan sebahagian daripada masalah tersebut. 

Kedua, marilah kita menggembleng segala potensi, bakat, pemikiran dan kreativiti bangsa kita untuk mencari penyelesaian terbaik bagi segala masalah. 

Kita mungkin tidak punya formula ajaib. Tapi kita pasti punya kemampuan untuk membuat penilaian objektif tentang keberkesanan dasar kita. Dan semua maklumat ini, boleh memberikan pencerahan tentang kekangan dan dinamiknya masalah ekonomi rakyat kita.

Namun saya yakin bahawa jalan ke hadapan bukan sekadar penyelesaian berasaskan pemikiran ekonomi barat semata-mata. Terokailah juga penyelesaian yang berasaskan Islam. Sesungguhnya, sistem yang bersumberkan wahyu, pasti ada manfaat yang luar biasa yang belum mampu kita bongkar potensi dan kemujarabannya.

Maka kerana itulah di Johor, kita sedang giat melihat kembali kedinamikan penyelesaian masalah sosio ekonomi berdasarkan model Islam. Institusi wakaf, zakat, hibah dan sedekah akan kita kaji semula. Kita akan gagaskan institusi khusus untuk ini semua. Ia akan diuruskan secara profesional, dengan tadbir urus yang baik. Dengan misi dan visi yang pro rakyat dan mengangkat budaya muafakat.

Kerana kita yakin, instrumen ekonomi Islam, yang berasaskan pemberian atau ‘the economics of giving’, mesti dibongkar potensinya. InsyaAllah, semua ini akan membantu kelahiran masyarakat yang dihakupayakan. Masyarakat Malaysia yang lebih besar dan mandiri

Datuk Seri Presiden, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,

Sebenarnya tiada apa yang kami UMNO Johor dambakan. Melainkan penyelesaian, melainkan perdamaian dan melainkan kembalinya keyakinan bahawa dalam UMNO ini, masih ada perjuangan yang harus diteruskan. Untuk orang Melayu, untuk rakyat Malaysia dan agama Islam. Tidak lebih dari itu.

Kami UMNO Johor sekadar mahu menjadi individu penengah, yang ingin membawa akhir pada segala kemaslahatan, yang membuka jalan pada harapan baharu. Yang dalam akurnya pada pemimpin dan ketua, masih kekal setia pada teman lama. Yang gigih dalam perjuangan tetapi tegas dengan prinsip. 

Kami sekadar mahu menjadi sosok pendukung parti dengan pemikiran pendiri bangsa, iaitu memberikan kebaikan pada agama dan bangsa. Dan kami percaya kemerdekaan negara hanya dapat dijamin berkelangsungan, andai kita berpangkal pada kemerdekaan jiwa, kita ikhlas pada perjuangan dan kita kukuh berpadu. 

Kerana itulah, di sebalik perselisihan yang meribut, dan cabaran yang mendepani, kami memilih jalan mendamaikan dan mengajak semua untuk terus berjuang. Biarpun dipenuhi ranjau sepanjang jalan. 

UMNO Pasir Gudang yakin, malah sangat yakin, dalam apa pun kekeruhan yang melanda parti dewasa ini, suatu kebaikan akan terjelma jua akhirnya. 

Langit yang mendung, pasti akhirnya dicerahi sang mentari jua. Setelah gerimis, pelangi indah selalu menjelma. Itu sudah menjadi lumrah dan hukum alam. Kami berkepercayaan, bahawa apa jua yang UMNO lalui, apa jua kemelut yang mendepani, apa jua gelora dan cabaran, ia bukan sekadar mendewasakan. Ia pasti akan mengukuhkan perjuangan ini. InshaAllah.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment