TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN

Wednesday, June 5, 2013

PERPECAHAN - AHLI ATAU PEMIMPIN PENYEBABNYA

         
Diketika 146,500 ahli dan pemimpin UMNO peringkat akar umbi berkobar-kobar ingin mengundi memilih pucuk pimpinan parti, ada pulak suara-suara yang berbunyi, antaranya;

Menyokong cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung parti itu Oktober ini. 

Kononnya gandingan mantap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden dan timbalan presiden Umno adalah yang terbaik untuk menjayakan segala program transformasi parti.

Dan juga kononnya untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Malangnya, semua suara-suara ini keluarnya dari orang-orang yang mempunyai kepentingan dalam barisan kepimpinan sedia ada. Ada yang berjawatan menteri, ada yang berjawatan timbalan menteri dan pelbagai lagi jawatan.

UMNO dah 67 tahun usianya. Apakah ahli dan pemimpin UMNO masih belum matang lagi. Betulkah dengan berlakunya pertandingan akan menyebabkan perpecahan? Siapakah yang menyebabkan perpecahan? Ahli akar umbi atau pemimpin?

Kalaupun berlaku pertandingan, ia bukanlah pertandingan dari cikai-cikai UMNO. Yang bertanding itu nanti pastinya mereka-mereka dari kalangan pemimpin juga, dari kalangan mereka yang juga mempunyai misi dan visinya yang tersendiri untuk ditawarkan kepada ahli-ahli UMNO.

Apakah 146,500 pengundi dan pengikutnya akan berpecah? Atau pemimpin yang kalah akan jadi batu api, jadi duri dalam daging, jadi api dalam sekam?

Yang dah duduk dalam jawatan tertinggi parti, yang dah ada jawatan dalam kerajaan kerana kepimpinan sedia ada, eloklah jangan buka mulut. Tak manis. Ahli UMNO dah matang. Waima yang di peringkat cawangan sekalipun, selalu ada pertandingan, tetapi pemimpin kecil kalau mereka kalah, mereka redha. Habis pertandingan, mereka berganding bahu, sama-sama masih ahli UMNO. Malulah kalau pemimpin-pemimpin besar, belum apa-apa lagi dah membayangkan perpecahan.

Tak bolehkah pemimpin besar bersikap seperti pemimpin kecil? Pemimpin kecil, bila dah kalah, duduk diam-diam, sokong apa jua apa yang menang buat. Pemimpin kecil juga ada penyokong, tapi kenapa mereka boleh tenteramkan penyokong mereka, mereka boleh ikut segala aktiviti, boleh gotong royong sama-sama. Nampaknya pemimpin kecil UMNO lebih memahami makna demokrasi dalam parti atau mungkinkah kerana diperingkat pemimpin kecil ini tidak menjanjikan jawatan, tidak menjanjikan projek dan tidak menjanjikan kekayaan maka bolehlah redha dengan kekalahan!

Fikir-fikirkanlah. UMNO boleh berubah, UMNO boleh jadi parti pingitan sekiranya sikap pemimpinnya boleh berubah. Kalah dalam parti bukan bermakna tidak boleh berbakti. Pemimpin kalah yang mengajak penyokongnya bersama-sama dengan pemimpin yang menang, yang tak menghasut penyokongnya untuk berpuak-puak dalam parti juga merupakan bakti. Jangan bila bertanding, dah kalah ada yang berpatah arang, berkerat rotan.


No comments:

ARTIKEL HANGAT BULAN INI