Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) yang bertanggungjawab memastikan kepentingan Bumiputera di sektor hartanah dijaga dan dipantau dengan lebih teliti.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata UPB akan memantau isu berkaitan kuota perumahan Bumiputera supaya pemaju perumahan tidak menggunakan peluang untuk membayar penalti sebagai alasan tidak membina rumah mampu milik atau rumah untuk Bumiputera.
"Kami dapati ada ketikanya pemaju perumahan meminta supaya rumah yang diberi atau dikategori sebagai rumah Bumiputera, apabila tidak terjual, mereka meminta kebenaran untuk menjualnya sebagai unit biasa.
"Jadi unit ini akan memantau, kami akan mendapatkan maklumat secara teliti, betul atau tidak mereka iklankan rumah itu, kalau diiklankan mungkin hanya kecil di penjuru atau di belakang akhbar jadi orang tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Marang, semalam.
Beliau berkata, perbincangan mengenai penubuhan unit itu sedang dilakukan dan seorang daripada timbalan ketua setiausaha kementerian itu akan dilantik sebagai pegawai yang menyelaras unit berkenaan.
Abdul Rahman berkata, penubuhan unit itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan golongan Bumiputera mempunyai peratusan yang tinggi dalam pemilikan hartanah.
"Ada ketika pemaju perumahan mendakwa mereka membina rumah berkenaan, tetapi tidak ada pembeli di kalangan Bumputera yang kadang-kadang secara rambangnya tidak begitu masuk akal.
"Saya lihat di luar sana begitu banyak permintaan rumah di kalangan Bumiputera, jadi kami tidak mahu mereka ambil jalan pintas dan hanya memberitahu bahawa mereka mengiklankan rumah tetapi masih tidak ada pembeli," katanya.
Beliau berkata, sekiranya pemaju gagal mendapatkan pembeli untuk unit Bumiputera, UPB akan mengambil alih unit itu atau membantu pemaju menjual rumah yang dibina kepada Bumiputera berkemampuan. - Bernama
***Pastikan UPB ini berjaya. Diharapkan agar unit ini bukan sahaja memantau pelaksanaan dan kepentingan Bumiputera dalam sektor hartanah, tetapi juga memastikan bahawa tiada mana-mana hartanah dengan status untuk Bumiputera ditukar status dengan apa cara atau alasan sekalipun.
1 comment:
Would like to suggest KWSP withdrawal for the purchase of shophouses as the upper floor can be use as a house and the ground floor for commercial purpose. Might reduce monthly installment.
Post a Comment