TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN

Monday, June 20, 2011

1 HARI UNTUK ANAK & SEKOLAH

Dalam seminggu dua ini, boleh dikatakan ada sahaja sekolah yang mengadakan Hari Terbuka. Ada juga yang menyebut Hari Diskusi. Hari dimana pihak sekolah menjemput ibubapa untuk berjumpa dengan guru-guru dan berbincang tentang perihal kecapaian dalam akademik dan kelakuan anak-anak di sekolah.
 

Program setahun sekali ini perlu diambil berat oleh ibubapa yang mana anak-anak masih bersekolah. Dengarkan pandangan guru-guru tentang anak kita dengan hati yang terbuka. Anak-anak sekarang tidak macam anak-anak dahulu. Anak-anak sekarang apabila bersama keluarga, tersangatlah sopan dan baik budi bicaranya tetapi terkadang di luar jangkauan mata ibubapa dan keluarga, terlalu banyak karenahnya yang boleh mendatangkan amarah orang.


Ibubapa haruslah menerima teguran dan kritikan tentang anak-anak tanpa menyalahkan mana-mana pihak. Begitu juga dengan kecapaian anak-anak dalam pelajaran. Terkadang anak-anak ini bila ditanya, semuanya yang baik belaka yang diberitahu.


Bagaimanapun, kepada ibubapa yang anak-anak kurang mencapai keputusan yang memberangsangkan, masih banyak lagi ruang untuk memperbaiki kekurangan anak-anak. Apa-apapun, sebagai ibubapa, kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat hal pendidikan kepada pihak sekolah sahaja. 

Beberapa tahun kebelakangan ini, dilihat kesanggupan ibubapa untuk hadir pada Hari Terbuka ini nampaknya semakin berkurangan. Sesetengahnya hanya datang semata-mata untuk mengambil Buku Laporan anak sahaja dan akan dengan tergesa-gesa pulang tanpa sempat berbual atau bertanyakan perihal anaknya di sekolah kepada pihak guru. Padahal, bagi pihak sekolah, penetapan tarikh untuk mengadakan Hari Terbuka adalah merupakan sesuatu yang dibuat dengan penuh perancangan yang rapi bagi membolehkan seberapa ramai ibubapa untuk hadir.


Apapun, bagi ibubapa yang masih mempunyai anak yang bersekolah, Hari Terbuka bukanlah satu-satunya hari untuk bertemu dengan pihak guru untuk membincang dan bertanyakan perihal anak di sekolah. Saya percaya, pintu sekolah dan guru-guru sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran ibubapa pada bila-bila masa jua untuk sama-sama mencari jalan untuk kecemerlangan anak-anak, generasi pewaris bangsa akan datang. 

Luangkan sedikit masa untuk hal persekolahan anak-anak kita.


P/s:- Sewaktu bersekolah dahulu, Hari Terbuka merupakan hari yang paling aku takut. Aku rasa pelajar dahulu ramai yang mempunyai perasaan yang sama dengan aku berkenaan Hari Terbuka ini.


2 comments:

Unknown said...

Salam bro. Anak-anak kita adalah 'aset' negara dan akan mengantikan tempat kita. Jesteru, elok benarlah di beri perhatian penuh akan hal persekolahan anak-anak kita.....

P/S : Bagi saya pula, amat suka dan di nanti2kan Hari Terbuka yg di anjurkan oleh Sekolah saya...:)

TiS said...

Salam IBM...
Ha..ha..ha, saya dulu nakal!

ARTIKEL HANGAT BULAN INI