Ramai yang terkedu bila TS Rahim Noor semeja dengan Perkasa. Maka ucapannya di majlis Perkasa telah diambil dan difahamkan sebagai fasis. Mungkin kerana tak faham Bahasa Melayu, maka ramai yang tidak dapat menilai antara menuntut hak asasi dan mempertahankan hak asasi.
Apa salahnya Rahim Noor mengingatkan kita akan bahayanya gelombang menuntut hak asasi manusia?....tiada salahnya. Ianya sebagai mengingatkan terutamanya NGO-NGO yang bergempita melaungkan hak asasi. Ini kerana gerakan menuntut hak asasi ini sekiranya tidak dikekang memang bakal mencetuskan pelbagai ketegangan.
Rahim mungkin punya asas dalam menyampaikan pandangannya. Terutamanya kalau dilihat dalam suasana hari ini, dimana penggerak hak asasi bukan sahaja mempertahankan hak asasi mereka, tetapi dalam menuntut hak asasi mereka, mempersoalkan hak asasi pihak lain yang mana hak-hak tersebut telah termaktub dalam sejarah.
Banyak berlaku perlanggaran sempadan oleh pejuang hak asasi. Perlanggaran sempadan inilah yang akan membahayakan keharmonian dan keutuhan sesebuah masyarakat. Ada hak asasi yang boleh diperjuangkan dan ada yang perlu dibataskan.
Lebih-lebih lagi dalam situasi Malaysia yang berbilang kaum ini. Hak untuk hidup mungkin sama, tetapi nilai-nilai lain seperti budaya dan agama tidak sama. Maka apabila kaum lain atau agama lain cuba untuk mengusik kononnya kebebasan dan hak asasi manusia yang menyentuh kepada sentimen agama dan perkauman, tentunya akan mendatangkan kecelakaan yang besar terhadap keharmonian.
Sesiapa sahaja boleh untuk mempertahankan hak asasi masing-masing tetapi tidak sampai kepada melanggar hak asasi orang lain, tidak mempersoalkan hak asasi orang lain. Ini kerana terkadang dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama ini, terdapat hak-hak asasi segolongan yang lain bertentangan dengan hak asasi segolongan yang lain.
Maka sebab itulah adanya kebimbangan akan adanya NGO-NGO buta yang yang menganut fahaman hak asasi ini menuntut semberono tentang hak asasi hanya untuk satu pihak sahaja dan menafikan satu pihak yang lain.
No comments:
Post a Comment