Mana satu pemimpin kanan Pakatan yang belum berkempen di Ledang? Baik dari PAS, PKR mahupun DAP, semuanya pernah berdiri di bumi Ledang menjual omong dan janji yang tak mungkin mereka tunaikan.
Apa yang ingin diberitahu di sini ialah bukan sahaja mereka berkempen melalui program, tetapi kini jentera perang saraf Pakatan telah bergerak di celah-celah masyarakat Ledang.
Puak Pakatan menyedari bahawa agak mustahil untuk mereka menawan Johor pada PRU 13 nanti. Namun begitu, mereka telah bersedia untuk menang moral dengan memenangi kerusi Parlimen Ledang dan sekurang-kurangnya 2 dari 3 kerusi DUN dalam Parlimen Ledang. Dengan penguasaan yang sebegitu, mereka membuat perkiraan "menang moral" dan seolah-olah telah berjaya menakluki Johor berdasarkan perkiraan Ledang ialah kawasan Menteri Besar!
Siapakah jentera perang saraf Pakatan di Ledang? Bagaimana mereka bergerak? Mungkin tidak ramai yang menyedarinya.
Mereka ini ialah dari kalangan orang-orang pencen dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang berpindah sementara dan menjadikan Tangkak sebagai markas mereka. Hal ini hanya disedari oleh penulis apabila pada Ramadhan yang lepas mengiklankan 'rumah untuk disewa' di Tangkak melalui Mudah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kesemua yang menelefon mempunyai kod nombor telefon kawasan Kuala Lumpur atau Johor Bahru.
Penulis pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa. Namun apabila diberitahu bahawa rumah tersebut telahpun disewakan, kebanyakkan dari yang menelefon beranggapan penulis tinggal di Tangkak dan memohon untuk dicarikan rumah dan tidak kisah dengan kadar sewa yang sedikit tinggi.
Curiga dengan sambutan yang menggalakkan, penulis meminta kerjasama adik ipar untuk turut mengiklankan rumahnya yang juga kosong di Tangkak dan buat sedikit soal siasat. Penyewa yang menyewa rumahnya membayar deposit dahulu sebelum melihat keadaan rumah! ...hebat. Rupanya menurut adik ipar, kini rumah di Tangkak memang laris untuk di sewa. Memang yang datang berjumpa di kalangan orang-orang pencen, yang ingin menjalankan perang saraf terhadap pengundi-pengundi Melayu dengan berjinak-jinak ke surau, masjid dan kedai-kedai kopi.
Puak-puak Pakatan ini tidak mengharapkan satu Johor jatuh ke tangan mereka. Bagi mereka, dengan menguasai kerusi-kerusi di Parlimen Ledang, mereka telah menang moral dengan mengalahkan MB Johor.
Orang-orang UMNO dan BN Johor, janganlah malu untuk mengakui bahawa Ledang kini kelabu menghampiri hitam. Berusahalah bagaimana untuk memutihkan keadaan. Sesiapa juga kini boleh cuba mengiklankan 'rumah untuk disewa' di Tangkak dan daerah Ledang untuk melihat kebenarannya.
Malahan dari bisik-bisik yang kedengaran sewaktu berkampung di Tangkak semasa Syawal yang lepas, terdengar juga permintaan. Kalau YAB MB Johor sayangkan UMNO dan BN, berkorbanlah untuk kali ini. Ahli UMNO dan BN adalah majoriti di Ledang, tetapi menurut yang bergelar "ahli biasa" ini, mereka telah acapkali berkorban untuk mengangkat pemimpin, dan janganlah asyik mereka saja yang berkorban hingga menimbulkan undi protes. "Ahli biasa" ini kalau boleh, biarlah orang baru yang menabur janji kepada mereka. Mengapa begitu permintaan mereka, Wallahua'lam. Mungkin pimpinan tertinggi BN boleh turun ke Ledang dan mendengar keluh kesah pengundi dan mengambil tindakan sewajarnya agar BN Johor tidak kalah moral dan UMNO serta BN terus gah di bumi kelahiran UMNO ini.
1 comment:
Awaiting more posts!
Post a Comment