TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN

Thursday, October 20, 2011

MENGAPA SINGAPURA MASIH KEKALKAN ISA?

Bila kerajaan mengumumkan penghapusan akta ISA, rakyat Malaysia rata-ratanya berbelah bahagi. Ada yang suka dan menyokong dan ada juga yang menentang bimbang. Kebimbangan golongan yang menentang penghapusan ISA tersebut mungkin mempunyai persamaan dengan pandangan TPM Singapura ini. Sama-sama kita baca dan renungkan. Apakah kerajaan kita mengambil tindakan yang terburu-buru untuk popular atau sebaliknya.


MENGAPA ISA TERUS RELEVAN BAGI SINGAPURA
DPM Teo: Tanggungjawab mengenai ancaman keselamatan terletak pada pemerintah bukan hakim mahkamah

TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, semalam menjelaskan mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terus relevan bagi Singapura buat masa ini sebagai benteng terhadap ancaman-ancaman keselamatan.

Tanggungjawab, penilaian dan pertimbangan mengenai ancaman keselamatan negara terletak pada bahu pemerintah dan bukan pada hakim mahkamah, tegas beliau.

Berucap di Parlimen semalam, Encik Teo yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, turut menjelaskan mengapa bagi kes-kes pengganasan misalnya, perbicaraan terbuka di mahkamah, atau mengadakan undang-undang baru iaitu Akta Pengganasan seperti yang disarankan sesetengah pihak kurang sesuai atau tidak memadai.

Tambahan lagi, pengganasan bukannya satu-satu ancaman keselamatan terhadap Singapura, kata beliau.

Beliau menyebut contoh bagaimana ISA telah digunakan bagi menentang ancaman subversif asing, pengintipan dan hasutan perkauman, sambil mendedahkan bahawa antara 1991 dengan tahun lalu, terdapat tujuh kes penahanan pengintipan.

Beliau akur bahawa pada masa depan, Singapura akan memerlukan undang-undang yang mengandungi peruntukan seperti dalam ISA, termasuk penahanan pencegahan, yang memberi kuasa kepada pemerintah mengambil tindakan awal dan mencegah ancaman serius dan bentuk sebenar undang-undang itu mungkin mengambil masa dan bergantung pada situasi.

'Tetapi bagi masa sekarang, ISA adalah benteng yang kita perlukan bagi melindungi kita daripada ancaman-ancaman dan membolehkan kita bertindak cepat dan berkesan sebelum ancaman itu mengakibatkan kerosakan serius dan mungkin berkekalan,' kata beliau.

Isu ISA mendapat perhatian di Singapura termasuk gesaan sesetengah pihak agar pemerintah meniadakannya menyusuli keputusan kerajaan Malaysia baru-baru ini memansuhkan ISA di negara itu.

Menerusi ucapannya semalam, Encik Teo menyorot tentang sejarah dan peranan ISA di Singapura.

Beliau menarik perhatian bahawa dari 1960-an hingga ke lewat 1980-an, pemerintah memerlukan ISA bagi menangani ancaman Parti Komunis Malaya dan pada 1990-an pula ia jarang digunakan kecuali bagi beberapa kes pengintipan.

Bagaimanapun, ISA kemudian menjadi kritikal bagi menangani ancaman pengganasan global.

Sambil menekankan bahawa penggunaan ISA dilaksanakan seiring keperluan keselamatan, Encik Teo berkata pemerintah menggunakan akta itu sebagai langkah terakhir apabila terdapat ancaman besar dan undang-undang lain tidak memadai.

Merujuk kepada saranan agar ISA dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Pengganasan, beliau berkata akta seperti yang disarankan itu tidak akan membolehkan langkah pencegahan terhadap mereka yang belum lagi melakukan tindakan yang boleh dikenakan dakwaan, tetapi menjadi sebahagian rangkaian yang lebih luas.

Dengan adanya ISA, pemerintah telah dapat membongkar rangkaian pengganasan di Singapura secara sistematik.

Berhubung saranan agar membicarakan kes pengganasan di mahkamah, Encik Teo berkata perbicaraan sedemikian hanya akan mendedahkan maklumat yang boleh digunakan pengganas bagi memperjuangkan agenda mereka, dan juga kemungkinan maklumat rahsia terdedah.

Dalam kes-kes ancaman keselamatan yang berkaitan dengan isu-isu bahasa, kaum dan agama, pendedahan isu-isu ini dalam perbicaraan awam boleh mencetuskan lagi situasi bahaya seperti yang mengakibatkan rusuhan Maria Hertogh dulu.

'Lebih penting lagi, memberikan hakim kata muktamad mengenai apakah yang menjadi ancaman serius terhadap keselamatan negara bererti seseorang hakim dan bukan pemerintah yang bertanggungjawab terhadap keputusan melibatkan keselamatan bagi Singapura.

'Di Singapura, tanggungjawab ini dan tanggungjawab untuk bertindak melindungi keselamatan negara terletak dalam tangan pemerintah,' kata Encik Teo.

Sumber: Cyberita


No comments:

ARTIKEL HANGAT BULAN INI