Maaf Tun untuk tidak bersetuju dengan Tun. Sebenarnya hasrat Tun memperkenalkan PPSMI dahulu adalah baik dan tidak dinafikan sama sekali. Menentang PPSMI bukanlah kerana PPSMI tidak baik.
Bercakap melalui pengalaman sendiri, saya mempunyai 3 orang anak yang mana kesemuanya melalui persekolahan rendah mengikut PPSMI. Alhamdulillah, Allah menganugerahkan saya anak-anak yang bijak dan cerdik walaupun bersekolah di pedalaman.
Ketiga-tiga anak saya merupakan pencapai tertinggi dalam tahun masing-masing bagi matapelajaran Bahasa Inggeris. Sewajarnya mereka tidak mempunyai masalah untuk memahami Sains dan Mathematik dalam Bahasa Inggeris. Malangnya ia tidak berlaku.
Ketiga-tiga mereka bermasalah untuk memahami apa yang disampaikan oleh guru-guru. Hanya apabila diterangkan semula di rumah, barulah mereka dapat memahaminya. Syukur lagi kerana saya dan isteri mampu untuk membimbing sendiri anak-anak. Bagaimana dengan sebahagian ibubapa yang tidak faham Bahasa Inggeris dan tidak mampu menyelesaikan masalah Mathematik dan Sains?
Sebenarnya bukan PPSMI yang tidak baik, tetapi penyampainya yang kurang persediaan. Sesetengah guru memberanikan diri untuk bertutur Bahasa Inggeris lantaran tuntutan kaedah pembelajaran yang sedemikian walaupun terkadang mengundang senyum simpul dari murid yang fasih berbahasa Inggeris. Kalau pronunciation guru tidak tepat, bagaimana mungkin guru dapat mengatur ayat dengan betul? Bila ayatnya lintang pukang, bagaimana murid dapat faham?
Pernah juga diajukan persoalan ini kepada rakan-rakan guru, jawapan yang diterima amat mengejutkan. Menurut mereka di kalangan guru-guru yang mengajar Sains dan Mathematik, hanya sekitar 35% sahaja yang lulus Bahasa Inggeris! Benar atau tidak dakwaan tersebut, Wallahu'lam.
Maka untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, PPSMI bukanlah jawapannya. Bahasa Inggeris hanya boleh diperkukuhkan dengan subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. Menggunakan bahasa yang kurang difahami murid dan guru untuk subjek-subjek kritikal dan teknikal hanya merugikan murid.
Tuntutan sesetengah pihak yang mahukan PPSMI hanya kerana anak-anak mereka hanya mahir dalam Bahasa Inggeris dan bersekolah di kawasan elit yang mana kebanyakkan guru-gurunya juga elit dan berpengalaman tidak harus diendahkan. Kegagalan mereka dan anak-anak mereka menguasai pelajaran dalam Bahasa Malaysia sahaja sudah cukup untuk kita menilai sejauhmana mereka memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan yang sewajibnya difahami oleh semua yang mengaku warganegara dan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment